SAHAM SESUAI UNTUK ANDA ? BACA DULU

SAHAM SESUAI UNTUK ANDA ? BACA DULU

Saham bukan untuk semua. Baca panduan ini supaya anda tidak silap

Saham?

 

Bunyi tajuk macam tak seronok kan? Anda dah "minat giler" nak main saham, tiba-tiba tajuk artikel ini kata "saham bukan untuk semua".

Jangan putus harapan. Baca dulu. Nanti faham dan tahu!

Istilahnya “saham”. Istilah ini menarik dan menggerunkan. Dua-dua unsur ini ada apabila memperkatakan mengenai "saham".

Anda sendiri pun tahu bahawa sebahagian mangsa yang terjun bangunan bunuh diri ada kena mengena dengan saham.

Bukan mahu menakut-nakutkan, tetapi fakta ini wajib tahu. Apa yang Pakku cuba sampaikan kepada anda ialah jangan main hentam-keromo jika nak babitkan diri dalam saham.

 

 

Semoga tidak tersilap

 

Mari kita berterus-terang!

Kebanyakan kita biasanya silap dalam menanggapi saham. Rata-rata kita beranggapan sesiapa sahaja adalah sesuai, patut dan boleh babitkan diri dengan saham.

Ini silap. Kenapa Pakku kata silap? Teruskan bacaan kerana info di bawah kemungkinan besar dapat menyelamatkan anda daripada “terkena” dalam "permainan" saham.

 

Siapa patut main saham?

 

Pertama-tama, aktiviti main saham perlukan masa. Anda tidak wajar beranggapan pembabitan dalam saham sekadar aktiviti masa lapang atau suka-suka sahaja.

Saham nak naik atau nak turun tidak tunggu anda lapang atau tidak. Justeru, anda perlu ada masa untuk pantau dan ambil tahu sepanjang detik pergerakan harga saham.

Dan, jangan main redah sahaja. Faktor modal juga sangat mustahak. 

Berdasarkan pengalaman Pakku, mereka yang sesuai membabitkan diri dengan saham ialah individu yang ada modal cukup.

Berdasarkan pengalaman dan penelitian Pakku, modal yang cukup ialah minimum RM 5,000. Dengan modal minimum inilah baru boleh nampak ketara keuntungan, jika berlaku, dengan hasil aktiviti pembelian saham.

Itupun jangan harap ia dapat berlaku dalam masa semalaman. Jangan mimpi lebih-lebih! Kelak anda “frust menunggeng”.

 

Dan, maksud modal berkenaan ialah modal anda sendiri, bukan modal dari pinjaman mana-mana institusi atau perseorangan. 

Bukti juga menunjukkan kes bunuh diri yang ada kaitan dengan saham biasanya membabitkan penggunaan wang pinjaman pihak lain untuk main saham; lazimnya pinjaman dalam jumlah yang agak besar. Ini bahaya dan memudaratkan!

 

Kegagalan membayar balik setelah mengalami kerugian dalam aktiviti saham secara normalnya akan memudaratkan dari sudut emosi, kehidupan peribadi dan keluarga serta perhubngan dengan orang lain.

Ini menerbitkan stres dan kemurungan yang bukan alang kepalang. Malah, lebih buruk ia mungkin membawa kepada kes bunuh diri.

 

Lagi sekali ditegaskan bahawa Pakku tidak bertujuan menakut-nakutkan. Sebaliknya niat murni Pakku ialah untuk memberikan anda tahap pemahaman dan persediaan yang sangat mencukupi sebelum terbabit dalam saham.

Teruskan pembacaan kerana anda akan dibimbing dengan cara yang tepat lagi betul untuk membabitkan diri dalam saham secara bijak.

 

Mengapa main saham? 

Biasanya mengapa orang main saham?

Apa tujuan seseorang terbabit dengan saham atau main saham?

Setiap orang ada alasan dan sebab tersendiri mengapa mereka main saham. Macam-macam sebab. 

Satu daripada sebab orang main saham ialah untuk selesaikan hutang atau bayar hutang. 

Dukacita Pakku katakan alasan ini sangat berbahaya. Jika untuk langsaikan hutang, main saham bukanlah pilihan kaedah yang betul dan selamat.

Pada era terdahulu, ramai pemain saham menerima musibah kerana mereka menceburi urusniaga saham semata-mata untuk langsaikan hutang.

Ini berlaku ketika era awal rakyat Malaysia mula kenal “saham” dan terbabit dengan “games” ini.

Ketika itu, pelabur saham melabur hanya dengan berdasarkan tips saham tanpa belajar dan menguasai sebarang pengetahuan berkaitan saham atau tanpa “ilmu saham”.

 

Tanggapan umum ketika itu ialah bermain saham tidak memerlukan ilmu khusus dan banyak. Mereka beranggapan main saham “boleh redah” sahaja. Lebih buruk lagi, ketika itu rata-rata beranggapan main saham bergantung pada luck semata-mata. Justeru, “gamble ajer”.

Pada waktu itu tidak wujud kesedaran bahawa ilmu dan pengetahuan khusus sangat perlu dan amat penting sebelum seseorang patut mula terbabit daam pelaburan saham.

 

Ketika itu, iaitu pada era 1990-an dan 2000-an, majoriti pelabur saham membuat keputusan dalam pelaburan mereka hanya berdasarkan tips yang belum tentu berasas atau tidak.

Pada masa itu, rata-rata beli saham hanya berdasarkan cakap-cakap orang. Asal sahaja ada khabar angin konon saham itu patut beli saham ini juga bijak untuk beli, maka membelibelahlah si pemain saham.

 

Majoriti langsung tiada pengetahuan khusus mengenai saham. Beli saham sekadar hentam keromo. Ya betul, ada yang raih untung dan buat duit, tetapi tidak kurang yang menangis sengsara kerana mengalami kerugian ketara.

 

Kelakarnya ialah mereka yang meraih untung sedikit sebanyak daripada urusniaga saham itu sendiri tidak tahu mengapa mereka untung. Manakala mereka yang rugi jugak terpinga-pinga tidak tahu mengapa mereka rugi. Ini kerana ia semata-mata bergantung pada "luck", bukan ilmu.

Faktanya ialah sebahagian besar daripada urusan jual-beli saham di bursa saham itu hanya berlaku “secara membabi buta” disebabkan tidak ada ilmu dan pengetahuan spesifik bersabit urusan dagangan saham.

 

Lantas, sebahagian yang untung berasa seronok, sementara yang rugi terpinga-pinga kebingungan kerana tidak tahu bagaimana mereka boleh rugi.

Situasi masa kini

Itu dahulu. Mereka terjun dalam saham membuta tuli. Namun apa yang menarik ialah kini trend sebegitu tidak lagi.

Kini kebanyakan anggota masyarakat kita tidak akan mengambil keputusan terjun terburu-buru dalam arena saham jika tidak benar-benar faham atau mempunyai ilmu berkaitan dalam bidang ini.

Perubahan ini mungkin disebabkan kesan yang dilihat pada pemain saham terdahulu yang rata-rata, apabila mengalami kerugian dalam saham, menghadapi masalah kronik hingga ke tahap bunuh diri atau setidak-tidaknya kemurungan atau terpaksa menanggung beban hutang berpanjangan.

Justeru, kini rata-rata kita biasanya hanya akan terbabit dalam permainan saham setelah mempunyai pengetahuan spesfik berhubung urusniaga saham.

Setidak-tidaknya sesetengahnya menguasai pengetahuan minimum, jika pun tidak pada tahap “pakar saham”.

Ini perkembangan menarik dan membanggakan. Pakku sendiri berasa seronok melihat perubahan dan perkembangan ini.

Kini kebanyakan mereka yang mempunyai pengetahuan khusus mengenai saham ialah golongan muda. 

 

Sekali lagi Pakku nyatakan bahawa Pakku berasa amat gembira melihat semakin ramai generasi muda semakin berminat untuk mendalami ilmu saham.

Ternyata generasi muda kini semakin faham bahawa “saham bukan untuk semua orang dan semua orang bukan untuk saham”.

Ada banyak syarat asas dan keperluan tertentu sebelum seseorang terbabit dalam bidang ini, terutama menguasai ilmu spesifik pelaburan saham, termasuklah menerusi pembacaan, kursus, seminar dan sebagainya.

 

Atas kesedaran inilah tidak hairan generasi sekarang sanggup mengeluarkan biaya khusus untuk membayar ilmu berkaitan saham atau apa juga aspek pelaburan berkaitan. Mereka percaya, pembiayaan untuk ilmu ini, lazimnya berhasil atau berbaloi dalam jangka panjang.

 

Apabila sudah menguasai ilmu berkaitan, barulah mereka berkecimpung dalam “permainan yang tidak menentu” ini.

Jika pun kerugian tidak dijamin 100 peratus dapat dielakkan, setidak-tidaknya dengan penguasaan ilmu dapatlah kebarangkalian itu diminimumkan.

 

Jika pun terpaksa mengalami kerugian, setidak-tidaknya mereka tahu dan faham bagaimana mereka rugi. 

Ini jelas berbeza berbanding “generasi saham terdahulu” yang tidak mampu faham dan terpinga-pinga mengapa mereka boleh mengalami kerugian dalam saham.

 

Apapun, hakikatnya seorang pelabur saham perlu memiliki ilmu dan panduan saham yang betul untuk mengelak risiko kerugian tinggi.

Mereka juga perlu meningkatkan pengetahuan dari pelbagai segi, termasukkah analisis teknikal dagangan saham sebelum terjun menyertai aktiviti pasaran berisiko ini.

 

Saham bukan untuk semua!

Justeru, Pakku tegaskan sekali lagi bahawa saham bukan untuk semua orang. 

Selain aspek penguasaan ilmu saham, jika tiada modal atau tidak cukup modal untuk saham, jangan "terkinja-kinja tak tentu hala" gadai itu jual ini dan pinjam sana pinjam sini.

 

Jangan sesekali jangan. Fokus biaya untuk keluarga dahulu. Utamakan keperluan harian sekeluarga dan segala kos berkaitan terlebih dahulu.

Dan, setelah semua itu, jika masih wujud lebihan dana, setelah tolak semua kos keluarga, baharulah fikirkan soal pelaburan saham.

 

Selain faktor dana atau modal, perlu akur bahawa menceburi aktiviti pelaburan saham memerlukan mental yang sangat kuat lagi lasak. Ini kerana saham bak cuaca - ketika sedang panas dan cerah, tak mustahil bertukar mendung disusuli petir sabung menyabung dan hujan bercucuran.

 

Inilah saham. Justeru mental mesti berlian, bukan besi; tahan dek apa juga perubahan dan untung nasib. Perlu diingat bahawa turun naik angka saham bukan sahaja tercorak oleh ekonomi domestik, malah petunjuk dagangan luar negara. Justeru, mesti sentiasa berwaspada dan bersedia.

 

Begitu juga dalam aspek teknikal; semua mesti ada persediaan. Antaranya, jika tak pernah lakukan “papertrade” (latihan perdagangan simulasi), jangan sesekali berani untuk terus berdagang dalam pasaran saham.

 

Inilah antara apa yang Pakku maksudkan “saham bukan untuk semua”. Diharap anda jelas dengan apa yang Pakku cuba sampaikan. Jangan kata Pakku “tak warning dulu”.

Berdaganglah dalam situasi diri, poket dan mental yang sudah sangat bersedia untuk mendepani apa sahaja kebarangkalian.

 


 

KHAS BUAT ANDA YANG SERIUS, KOMITED DALAM PELABURAN SAHAM..ANDA BOLEH RUJUK VIDEO-VIDEO DI BAWAH INI..

 

 

 

 

KENYATAAN PENAFIAN:

Video, artikel atau apa-apa sahaja yang ada di sini adalah bertujuan untuk pendidikan sahaja dan tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti memberitahu anda saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter untuk BELI, JUAL atau PEGANG. Sebarang  saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter yang dikongsikan adalah untuk pembelajaran. Sebarang tindakan atau keputusan BELI, JUAL atau PEGANG adalah keputusan anda sendiri. Nasihat pelaburan, pengurusan dana, pengurusan pelaburan atau apa-apa aktiviti melibatkan pelaburan tidak berlaku di sini. Admin atau wakil admin tidak akan bertanggung jawab sekiranya berlaku kerugian di pihak anda.

*Terdapat iklan-iklan di laman web ni kerana menggunakan platform pengiklanan dari Google..Sekiranya anda rasakan tidak perlu atau mengganggu bacaan anda, sila tutup iklan tersebut.