Saham Global Dan CFD: Hati-hati Agar Tidak Terpedaya

Saham Global dan CFD: Hati-hati agar tidak terpedaya

 

 

Saham global, termasuklah Contract for Difference (CFD) atau Kontrak bagi Perbezaan adalah antara jenis pelaburan yang memungkinkan peluang keuntungan tinggi.

Saham global, terutama kategori CFD ini, membolehkan pelabur berspekulasi mengenai pergerakan harga sesuatu aset sehingga pada nilai setinggi mungkin. 

Menariknya, kontrak dagangan itu tidak memerlukan pelabur memiliki aset berkenaan secara fizikal. 

Namun, perlu diketahui bahawa risiko saham global, termasuklah CFD, sangat tinggi dan besar. 

Malah, bagi individu Muslim, saham jenis ini masuk dalam kategori yang tidak dibenarkan atas sebab-sebab tertentu. Sesetengah jenis dagangan seumpamanya telah difatwakan sebagai “haram”.

Baca seterusnya untuk mengetahui mengapa anda patut berhati-hati dan mengelak terbabit saham global serta CFD.

 

Apa itu CFD?

 

Mari kita kenal dahulu apa itu CFD. Seperti disebut di atas, CFD merujuk kepada "Contract for Difference" atau "Kontrak bagi Perbezaan".

CFD ialah sejenis instrumen kewangan yang membolehkan individu berdagang atau berspekulasi terhadap pergerakan harga pelbagai aset kewangan, termasuklah saham, indeks, matawang atau komoditi tanpa perlu memiliki aset berkenaan secara fizikal. Seseorang yang melabur dalam CFD tidak membeli atau menjual aset sebenar. 

Sebaliknya, mereka membuat perjanjian kontrak dengan broker atau platform dagangan yang membolehkan mereka memperoleh keuntungan daripada perbezaan di antara harga beli dan harga jual sesuatu aset terbabit.

Dalam CFD, pedagang boleh memilih sama ada untuk membuat spekulasi jangka panjang atau spekulasi jangka pendek.

Dagangan jenis ini sangat “bahaya” dari sudut hukum Islam. Ini akan diperincikan kemudian. Teruskan pembacaan. 

 

Mengapa CFD haram?

 

Walaupun ada sisi dan sudut pandang berbeza-beza dari segi hukum Islam mengenai CFD, aktiviti spekulatif terhadap perubahan harga aset tanpa unsur pemilikan aset secara fizikal itu menyebabkan kontrak dagangan seumpama ini dihukumkan haram oleh majoriti ulama dan komuniti Muslim di serata dunia.

Ini terutamanya kerana ada tiga unsur jelas di dalam CFD, iaitu Maysir, Gharar dan Riba. 

Mari kita perincikan.

Maysir merujuk kepada unsur spekulasi dan perjudian kerana pelabur atau pedagang tidak memiliki aset fizikal. 

Gharar merujuk kepada unsur pertaruhan, kekaburan, ketidakpastian atau penipuan. Ia berkaitan pengambilan risiko berlebihan yang boleh membawa kepada ketidakadilan atau penganiayaan. 

Riba pula merujuk kepada transaksi tidak adil dan keuntungan “secara eksploitatif”. Unsur ini jelas dilarang di dalam al-Quran dan Hadis.

Namun, ada juga segelintir kecil ulama berpendapat bahawa dagangan seumpama ini dan CFD sendiri sebagai instrumen kewangan yang sah dan dibolehkan jika ia tidak membabitkan unsur riba dan spekulasi berlebihan.

 

Sebaiknya, kita ambil pandangan majoriti, iaitu CFD adalah haram.

 

Fatwa mengenai CFD haram

 

CFD difatwakan haram disebabkan adanya unsur spekulasi seperti judi terhadap pergerakkan harga  serta tiada pemilikan sah secara fizikal terhadap aset berkenaan.

Ini ditekankan di dalam fatwa-fatwa sedia ada berkaitan setakat ini.

Semua fatwa sedia ada sama ada di peringkat Malaysia atau dunia, mengambil kira kontrak dagangan seumpama itu melanggar beberapa prinsip murni syariah, termasuklah adanya unsur gharar (ketidakpastian), maisir (perjudian) dan riba (faedah).

Hal ini pernah diungkapkan Pakar Kewangan Islam, Datuk Dr Daud Bakar di dalam forum “Mencari Keberkatan Dalam Pelaburan” pada 2019.

Antara lain, menurut beliau, urusniaga mengikut kaedah berkenaan, iaitu “dagangan wang dengan wang membabitkan faedah (interest)” jelas tidak patuh syariah.

Dr Mohd Daud ialah bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, iaitu sebuah firma perundingan global dalam bidang kewangan Islam serta Pengerusi Majlis Penasihat Syariah di pelbagai institusi, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Apa yang disebut Dr Mohd Daud ini juga bertepatan dengan apa yang diputuskan komuniti ilmuan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

 

Di peringkat antarabangsa, antara lain ialah oleh Maulana Mufti Taqi Uthmani yang pernah menulis:

“Oleh itu, di mana sahaja senario ini wujud, bahawa penghantaran saham tidak berlaku (pelanggan tidak menjadi pemilik saham) dan bukan membeli saham itu atau menjualnya; sebaliknya lebih berunsur pertaruhan untuk menyelesaikan perbezaan (Contract for Difference), maka dagangan ini sudah pasti haram (dilarang) serta tidak dibenarkan dalam syariah”.

Maulana Mufti Taqi Uthmani ialah ulama Islam terkemuka dan bekas hakim dari Pakistan. Beliau naib presiden dan profesor bidang hadis di Darul Uloom, Karachi, Pakistan.

Kenyataan sama turut diungkapkan Mufti Faizal Riza dari Darul Ifta Australia. Mufti Faizal Riza ialah Naib Presiden Jamiatul Ulama, Victoria, Australia.

 

Margin trading (Dagangan margin)

 

Seperti CFD, hal yang sama terpakai untuk margin trading secara leverage dalam dagangan Forex.

Margin trading ialah kaedah membeli aset dagangan dengan meminjam wang daripada broker dan membayar deposit sebagai cagaran.

Dagangan margin trading dihukumkan haram kerana melanggar prinsip-prinsip syariah. Di dalamnya ada unsur riba, gharar, maysir dan monopoli. 

 

Dakwaan broker

 

Apa yang paling penting sebagai beginner, anda sangat perlu berhati-hati. Ini kerana ramai juga broker mendakwa platform mereka sebagai dagangan saham global walhal sebenarnya ia jenis CFD. 

Tidak mudah sebenarnya, jika tanpa ilmu dan maklumat yang cukup, untuk mengenal dan mencari yang halal di celah yang haram dalam bidang pelaburan dan saham, terutama jika ia membabitkan dagangan di peringkat global.

Mari kita teruskan.

 

 

CFD di Amerika Syarikat

 

Malah beberapa jenis CFD tidak dibenarkan di Amerika Syarikat sendiri dan beberapa negara lain di Barat. Macam pelik kan? 

Mengapa negara Barat sendiri yang tidak berasaskan hukum Islam, juga menolak CFD. Tentu ada sebab yang kuat.

Tidak lain tidak bukan kerana faktor peraturan (regulation) dan kawal selia. Ketiadaan peraturan dan kawal selia yang ketat menyebabkan broker boleh berbuat wewenang sehingga menghasilkan keputusan berat sebelah dalam dagangan.

CFD tidak dibenarkan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain juga ada kaitan dengan faktor risiko tinggi daripada instrumen dagangan jenis ini.

 

Guru saham tidak bercakap benar

 

Masalah yang lazim dihadapi mereka yang baru dalam bidang ini ialah kerana ramai guru saham global tidak menceritakan hal sebenar.

Malah, ada guru dan konon pakar atau broker saham global mencadangkan supaya pilih broker atau akaun yang leveragenya tinggi.

Lebih teruk lagi ada guru dagangan saham global tidak bercakap benar. Sesetengahnya mendakwa konon sesuatu saham berkenaan adalah Islamik; hakikatnya tidak.

Justeru, alternatif terbaik ialah anda sebagai beginner patut pilih hanya broker tempatan yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (https://www.sc.com.my/).

Mereka ini juga ada menawarkan saham global atau akaun rentas sempadan yang lebih sesuai.

Apa yang paling penting ialah anda sebagai beginner, mesti tambah ilmu dan maklumat. Dapatkan lebih bhanyak artikel dari kami kerana kami konsisten kemas kini ilmu serta maklumat berkaitan bidang ini dari semasa ke semasa.

 

 

 Hanya mereka yang tidak kenal erti putus asa dan sanggup bersabar sahaja yang akan menemui jalan kejayaan. Bagi yang mudah mengalah, perjalanan itu akan menjadi terlalu sukar.


 

 

 

 

 

KENYATAAN PENAFIAN:

Video, artikel atau apa-apa sahaja yang ada di sini adalah bertujuan untuk pendidikan sahaja dan tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti memberitahu anda saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter untuk BELI, JUAL atau PEGANG. Sebarang  saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter yang dikongsikan adalah untuk pembelajaran. Sebarang tindakan atau keputusan BELI, JUAL atau PEGANG adalah keputusan anda sendiri. Nasihat pelaburan, pengurusan dana, pengurusan pelaburan atau apa-apa aktiviti melibatkan pelaburan tidak berlaku di sini. Admin atau wakil admin tidak akan bertanggung jawab sekiranya berlaku kerugian di pihak anda.

*Terdapat iklan-iklan di laman web ni kerana menggunakan platform pengiklanan dari Google..Sekiranya anda rasakan tidak perlu atau mengganggu bacaan anda, sila tutup iklan tersebut.