Selama saya terlibat dalam dunia pelaburan, ramai orang yang sudah saya jumpa. Masing-masing dengan ragam tersendiri.
Setiap satunya memberi pengajaran bermakna kepada saya.
Ada di antara mereka yang tidak kisah mengambil masa untuk belajar dan memahami sedalam-dalamnya ilmu tentang pelaburan. Mereka tidak berhenti belajar walaupun telah mendapat keuntungan berlipat-ganda.
Ada juga yang kurang sabar. Mahu cepat mendapat untung, mahu cepat kaya. Bila diminta belajar, banyak pula alasan yang diberi. Kesudahannya, lebih banyak rugi daripada untung yang mereka dapat.
Sayang.
Begitulah kehidupan ini, saudara-saudari pembaca. Untuk mencapai sesuatu kejayaan, kita perlu terus belajar dan bersabar. Sekalipun bermula lambat, itu lebih baik sekiranya kita benar-benar faham dengan setiap tindakan yang kita buat. Itu lebih menguntungkan.
Berbanding kita terburu-buru mahu mendapat hasil lumayan tetapi tidak faham dengan apa yang kita perlu buat. Hanya terikut-ikut dengan cakap orang sahaja. Sedangkan orang yang bercerita gah itu pun belum tentu lagi macam mana hasilnya.
Lihat sahaja tokoh-tokoh jutawan seperti Reid Hoffman, pengasas bersama rangkaian sosial bagi golongan profesional LinkedIn dan Robert Noyce yang menubuhkan Intel ketika usianya menginjak 40 tahun.
Reid Hoffman merupakan graduan daripada Universiti Standford. Beliau pernah kehilangan arah sehingga tidak pasti apa yang mahu dicapai dalam hidup.
Sebelum memulakan LinkedIn, beliau pernah bekerja dengan syarikat besar seperti Apple dan Fujitsu. Kemudian beliau mereka sebuah rangkaian sosial untuk orang mencari pasangan, SocialNet. Rangkaian ini tidak berjaya lalu terkubur begitu sahaja. LinkedIn pula mengambil masa lebih 8 tahun untuk menampakkan kejayaan. Ia bukan suatu tempoh yang singkat.
Robert Noyce pula bekerja di Philco Corporation selepas tamat pengajian di MIT. Kemudian beliau berkhidmat di Shockley Semiconductor Laboratory di mana masalah dalaman dengan pihak pengurusan syarikat tersebut telah memaksa beliau untuk meletak jawatan.
Hanya selepas itu sahaja beliau menubuhkan Intel bersama Gordon Moore pada tahun 1968.
Jika kita perhatikan, mereka ini bukanlah orang yang sentiasa cemerlang sepanjang hayat. Ada ketikanya mereka juga mengalami kesulitan. Sama seperti kita. Namun, kesulitan itu tidak menghalang mereka untuk terus berusaha mencipta kejayaan. Mereka belajar dari setiap pengalaman hidup dan menjadikan pengalaman itu sebagai guru yang membimbing perjalanan ke hadapan.
Kunci kepada kejayaan ini adalah biarpun lambat memulakan sesuatu perjalanan, pastikan kita bersedia dengan bekalan ilmu dan hati yang kental.
Hanya mereka yang tidak kenal erti putus asa dan sanggup bersabar sahaja yang akan menemui jalan kejayaan. Bagi yang mudah mengalah, perjalanan itu akan menjadi terlalu sukar.
KHAS BUAT ANDA YANG SERIUS, KOMITED DALAM PELABURAN SAHAM..ANDA BOLEH RUJUK VIDEO-VIDEO DI BAWAH INI..
KENYATAAN PENAFIAN:
Video, artikel atau apa-apa sahaja yang ada di sini adalah bertujuan untuk pendidikan sahaja dan tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti memberitahu anda saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter untuk BELI, JUAL atau PEGANG. Sebarang saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter yang dikongsikan adalah untuk pembelajaran. Sebarang tindakan atau keputusan BELI, JUAL atau PEGANG adalah keputusan anda sendiri. Nasihat pelaburan, pengurusan dana, pengurusan pelaburan atau apa-apa aktiviti melibatkan pelaburan tidak berlaku di sini. Admin atau wakil admin tidak akan bertanggung jawab sekiranya berlaku kerugian di pihak anda.
*Terdapat iklan-iklan di laman web ni kerana menggunakan platform pengiklanan dari Google..Sekiranya anda rasakan tidak perlu atau mengganggu bacaan anda, sila tutup iklan tersebut.