Apa Itu Saham

Apa itu Saham

Apa Itu Saham?

Billionaire atau “orang kaya” seperti Jeff Bezos, Mark Zuckerberg, Elon Musk, Bill Gates  dan ramai lagi, dinilai kekayaan dengan aset saham yang mereka ada. 

Harga saham bagi syarikat mereka yang berterusan menaik menjadikan saham mereka lebih bernilai, seterusnya menaikkan nilai aset dan kekayaan mereka.

Di sini Pakku akan ceritakan perihal apa itu saham, kenapa melabur saham, apa itu saham syariah (bagaimana sesuatu saham adalah syariah), apa itu saham vs saham skim cepat kaya dan apa itu saham buy call.

 Jadi bagi menjawap apa itu saham, mudah sahaja. 

  • Saham adalah pegangan atau hak milik (shares)  sesuatu syarikat dalam bentuk ekuiti
  • Pemegang saham merupakan pemilik perniagaan dan berkongsi kejayaan atau kegagalan perniagaan.
  • Mudah cerita apabila Pakku beli saham Syarikat Ali, Pakku secara langsung telah menjadi salah seorang pemilik Syarikat Ali.
  • Saham adalah salah satu cara paling popular untuk syarikat mengumpul wang kerana ia lebih mudah daripada meminjam modal. 

 

Mari kita selami lagi apa itu saham.

Saham boleh dibeli atau didagangkan bagi tujuan menaikkan modal ataupun mendapatkan dividen. 

Semestinya harga saham adalah refleksi kepada prestasi dan keyakinan pelabur terhadap syarikat, harga ini boleh naik dan turun. 

Untuk mendapat keuntungan dari modal, seorang pelabur itu akan beli saham syarikat pada harga yang rendah atau murah. Modal ini akan berkembang apabila harga saham syarikat semakin naik atau mahal.

 

Kenapa Melabur Saham

Tadi kita dah faham apa itu saham dan Pakku ada sebut harga sesuatu saham ada naik dan turun bergantung kepada keyakinan pelabur terhadap syarikat. Nampak macam bahaya tapi kenapa masih melabur saham?

Ya.. Saham merupakan satu instrumen pelaburan yang paling berisiko.

Tetapi, ia masih menjadi antara instrumen yang paling diminati oleh pelabur kerana saham boleh memberikan pulangan yang sangat lumayan, jika kekal dengan Trading Plan yang telah dicorakkan dan berdisiplin.

Orang kita nampak yang manis daripada pahit bila melabur saham. Pakku tak nafikan, saham memang memberikan pulangan yang sangat lumayan tetapi mestilah fahami berkenaan risiko saham. 

Awas jangan main hentam ja beli saham yang tidak patut kita beli. Apa itu saham yang tidak patut kita beli ni? Semestinya saham yang halal. Jadi bab halal dalam berdagang saham ni jangan dipandang remeh. 

Jadi dah kena faham apa itu saham syariah.

Dalam membuat keputusan memiliki sesuatu saham kita perlu fikirkan adakah pelaburan saham itu sendiri patuh syariah? Ingat hasil dari bersaham tu semua akan jadi darah daging kita tau. 

 

Apakah itu saham syariah? 

dan bagaimana untuk mengenal pasti saham patuh syariah?

Saham patuh syariah bermaksud syarikat yang telah berjaya melepasi kaedah terperingkat penyaringan atau pengauditan syariah. 

Lebih 75 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syariah. Senarai Sekuriti atau Saham Patuh Syariah ini diterbitkan kepada umum dua kali setahun iaitu pada akhir Mei  dan November.  

Boleh rujuk senarai saham-saham syarikat patuh syariah di laman web Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau pergi ke laman web Bursa Malaysia

(Klik sini Securities Commission atau Bursa Malaysia untuk lihat senarai saham syariah.)

Tapi bagi mereka yang sering berdagang di Bursa Malaysia, senarai ini sentiasa ada di mana-mana platform dan ditanda dengan [s] atau superscript o.

 

Contoh Saham Syariah dengan tandaan superscript o

 

SC merupakan badan yang mengawalselia aktiviti pelaburan di Malaysia. SC juga yang akan mengeluarkan senarai saham yang patuh dan tak patuh syariah. 

Majlis Penasihat Syariah (MPS) dibawah kelolaan Suruhanjaya Sekuriti telah mengeluarkan penanda aras (benchmark). 

Sekiranya melebihi penanda aras (benchmark) tersebut, maka saham tersebut boleh berubah kepada non-shariah compliance. 

Kalau nak ceritakan bab Pengauditan Saham Syariah adalah panjang, jadi Pakku ceritakan Benchmark 5% dan 20% sahaja dulu. Lebih detail boleh lihat di laman web Securities Commission.

Benchmark 5% (tanda aras 5%)

Mana-mana sumbangan aktiviti tidak patuh syariah semestinya kurang dari 5%  (<5%) pendapatan kumpulan atau keuntungan kumpulan sebelum cukai syarikat.

Berikut adalah aktiviti tersebut:

  • Perkhidmatan kewangan berasaskan riba (pinjaman, pembiayaan, insuran konvensional)
  • Judi atau hal-hal berkaitan perjudian
  • Produk yang tidak halal seperti makanan, minuman, keras, rokok atau tembakau.
  • Hiburan
  • Pendapatan daripada janaan bunga atau kaedah tidak syariah
  • Segala jenis aktiviti perniagaan berkaitan yang tidak mematuhi prinsip syariah

Benchmark 20% (tanda aras 20%)

Seterusnya aktiviti perniagaan yang disenaraikan di bawah, peratus sumbangan aktiviti tidak patuh syariah semestinya kurang daripada 20 peratus pendapatan kumpulan atau keuntungan kumpulan sebelum cukai syarikat:

  • Perdagangan saham
  • Hotel dan Resort
  • Perniagaan berkaitan broker saham
  • Hasil sewaan yang diterima daripada aktiviti yang tidak patuh syariah
  • Lain-lain aktiviti perniagaan yang dilihat sebagai tidak menepati prinsip syariah 

Sebenarnya banyak lagi jika nak diambil kira.

Dah panjang sangat dah tu..Pakku harap dapatlah sedikit gambaran apakah saham syariah.

Ingat pilih yang Syariah sahaja.

Sekarang kita lihat pula Apa itu Saham Biasa dan apa itu Saham Keutamaan.

 

Apa itu Saham Biasa

Kebiasaannya (English) dipanggil sebagai common stock, ia adalah sebuah sekuriti yang mewakili pemilikan sesebuah syarikat. Saham biasa memberikan pemegang hak pemilikan dalam syarikat itu, seperti hak untuk berkongsi keuntungan, hak untuk mengundi dalam mesyuarat agung, memilih dan memecat pengarah. 

 

Jika syarikat bankrap, pemegang-pemegang saham biasa tidak akan menerima wang mereka sehingga pemberi-pemberi pinjaman, pemegang-pemegang bon dan pemegang-pemegang saham utama telah menerima bahagian masing-masing. 

 

Apa itu Saham Keutamaan

Saham keutamaan tidak memberi hak mengundi,tetapi hak mengundi boleh dibuat bergantung pada kegagalan untuk membayar dividen ke atas saham keutamaan bagi tempoh masa yang tertentu.

Saham keutamaan terutamanya dipegang untuk menerima pendapatan tetap dalam bentuk dividen.

Pemilik Saham Keutamaan mempunyai tuntutan yang lebih tinggi terhadap aset syarikat sekiranya berlaku pembubaran atau kemuflisan.

 

Apa itu saham vs Saham Skim Cepat Kaya

Seperti yang telah kita fahami di awal artikel, Saham di Bursa Malaysia sentiasa dikawalselia oleh SC jadi kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang yang telah kita depositkan ke mana-mana syarikat di Bursa Malaysia. 

Sungguh pun begitu, terdapat Saham Skim Cepat Kaya menggunakan latarbelakang syarikat-syarikat di Bursa Malaysia untuk menipu individu tertentu dengan menjanjikan pulangan yang lumayan.

Terdapat pelbagai jenis saham skim cepat kaya, antaranya adalah Skim piramid dan Skim Ponzi

Penganjur biasanya akan menggunakan logo Bursa Malaysia, logo syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, penyata keuntungan syarikat yang sangat menarik , jaminan keuntungan yang berganda dan jaminan tiada risiko dalam pelaburan.

 

 

Penganjur  Saham Skim Cepat Kaya menggunakan wang deposit yang diterima daripada pendeposit baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit yang sebelumnya.

Tetapi penganjur skim cepat kaya tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan yang sama atau lebih tinggi.

Jika tiada deposit baru diterima oleh penganjur, ia akan gagal dan para pelabur atau pendeposit akan kehilangan wang mereka.

 

Apa itu saham vs Buy Call

Buy Call adalah tindakan mempengaruhi pelabur-pelabur saham melalui pembelian atau penjualan mana-mana saham secara tidak betul. Tindakan ini dikira sebagai Salah Laku Pasaran, kerana ia samaada bertujuan menaikkan atau menurunkan harga saham syarikat tertentu.

Wujud kumpulan-kumpulan tertentu di media sosial yang menyenaraikan saham-saham tertentu untuk buy dan sell pada harga tertentu.

Buy Call adalah jalan mudah bagi pelabur yang tidak mahu belajar memahami, membuat kajian atau mengenali saham syarikat yang bakal mereka dagangkan. Terus beli tanpa usul periksa. 

 

Si Labu membuat buy call saham XYZ, terus si Labi membeli saham XYZ. Padahal Si Labu dah beli awal. Si Labu dengan sengaja memanipulasi pasaran saham.  Si Labu untung daripada buy call, Si Labi bagaimana pula? Si Labi sangkut pada saham XYZ. Lagi teruk saham XYZ berterusan rugi dalam setiap laporan sukuan malahan tahunan.

Sangat penting untuk kita mengetahui latarbelakang syarikat yang bakal kita laburkan sebelum membuat sebarang keputusan dalam pelaburan kita. Berbaloi  belajar Technical Analysis dan Fundamental Analysis saham ni.

Artikel ini diharap dapat memberikan sedikit gambaran tentang apa itu saham.

Sebelum anda boleh mula melabur  di Bursa Malaysia, anda perlu ada akaun CDS dan akaun ‘trading’ saham yang boleh diperolehi melalui Bank Pelaburan atau syarikat broker yang berdaftar dengan Bursa Malaysia.

Banyak Bank Pelaburan dan broker-broker yang berdaftar dengan Bursa Malaysia

Setelah anda sudah ada akaun CDS anda, anda boleh mula membuat pelaburan di Bursa Malaysia. 

 

 Hanya mereka yang tidak kenal erti putus asa dan sanggup bersabar sahaja yang akan menemui jalan kejayaan. Bagi yang mudah mengalah, perjalanan itu akan menjadi terlalu sukar.

 


 

KHAS BUAT ANDA YANG SERIUS, KOMITED DALAM PELABURAN SAHAM..ANDA BOLEH RUJUK VIDEO-VIDEO DI BAWAH INI..

 

 

 

KENYATAAN PENAFIAN:

Video, artikel atau apa-apa sahaja yang ada di sini adalah bertujuan untuk pendidikan sahaja dan tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti memberitahu anda saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter untuk BELI, JUAL atau PEGANG. Sebarang  saham-saham, syarikat-syarikat atau kaunter-kaunter yang dikongsikan adalah untuk pembelajaran. Sebarang tindakan atau keputusan BELI, JUAL atau PEGANG adalah keputusan anda sendiri. Nasihat pelaburan, pengurusan dana, pengurusan pelaburan atau apa-apa aktiviti melibatkan pelaburan tidak berlaku di sini. Admin atau wakil admin tidak akan bertanggung jawab sekiranya berlaku kerugian di pihak anda.

*Terdapat iklan-iklan di laman web ni kerana menggunakan platform pengiklanan dari Google..Sekiranya anda rasakan tidak perlu atau mengganggu bacaan anda, sila tutup iklan tersebut.